|
Isu keberhutangan dalam kalangan guru sebenarnya bukan perkara terpencil, malah ada ketikanya membimbangkan apabila ada yang bergelumang dengan perangkap mengelak kebankrapan. Justeru, apabila Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon mendedahkan fenomena gusar ini, ia wajar menjentik kesedaran pendidik untuk mengelak daripada terjerumus ke lembah hutang dan muflis. Antara faktor guru berhutang dan berisiko bankrap adalah kelemahan literasi dan pengurusan kewangan. Maka ia memerlukan penyelesaian menyeluruh daripada Kementerian Pendidikan (KPM). Hari ini, tidak dinafikan ekonomi rumah tangga semakin mencabar, isu pengurusan kewangan peribadi menjadi ujian merentasi profesion dan lapisan masyarakat, termasuk pendidik.
Apatah lagi pelbagai bentuk dan pakej pinjaman peribadi banyak ditawarkan institusi kewangan, maka ia turut mempengaruhi pendirian guru untuk memenuhi keperluan hidup. Ditambah pula dengan tekanan gaya hidup moden hari ini, menjadikan ramai pekerja, termasuk guru terdedah masalah kewangan serius jika tidak dibekalkan pengetahuan dan disiplin kewangan mencukupi. Dalam konteks ini, literasi kewangan kepada pendidik sudah menjadi satu keperluan asas, bukan lagi pilihan. Guru sering dilihat sebagai golongan profesional yang stabil dari segi pendapatan. Namun, persepsi ini tidak semestinya mencerminkan realiti sebenar. Apabila literasi kewangan rendah, keputusan berkaitan pinjaman dan perbelanjaan sering dibuat tanpa pertimbangan jangka panjang, sekali gus meningkatkan risiko kewangan peribadi. Keadaan ini menjadi lebih parah apabila sistem kelulusan pinjaman boleh disifatkan sebagai longgar. Ada institusi kewangan meluluskan pinjaman walaupun tahap komitmen peminjam melepasi had selamat. Ia bukan sahaja menjejaskan kebajikan guru, malah mencerminkan kelemahan tadbir urus institusi kewangan yang seharusnya berperanan melindungi, bukan memerangkap peminjam, termasuk guru. Dalam hal ini, guru juga wajar 'mengukur baju di badan sendiri' dalam urusan perbelanjaan. Memang benar guru juga memiliki pelbagai ilmu dan kemahiran, namun tanpa disiplin tinggi ia membuka pintu perangkap pinjaman. Sebelum ini berapa banyak penjawat awam, termasuk guru dilaporkan terperangkap dengan pinjaman along. Semua kes ini harus dijadikan pengajaran kepada guru untuk lebih waspada dalam aspek pengurusan kewangan. Jika isu ini tidak ditangani dengan cermat, tekanan kewangan boleh menjejaskan kesejahteraan mental guru, seterusnya memberi kesan kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP). Pendidikan berkualiti sukar dicapai jika pendidiknya dibelenggu masalah kewangan yang kronik. Justeru, usaha meningkatkan literasi kewangan guru perlu dijadikan agenda nasional. Kerajaan, KPM, bahkan NUJ harus bekerjasama menyediakan modul pendidikan kewangan yang menyeluruh, mesra guru untuk difahami, praktikal dan berterusan. Program ini tidak wajar bersifat sekali lalu, sebaliknya disepadukan dalam pembangunan profesional guru sejak awal perkhidmatan. Kawal selia lebih ketat terhadap kelulusan pinjaman juga perlu dilaksanakan. Akhirnya, menangani isu ini bukan sahaja dapat menyelamatkan individu daripada kebankrapan, tetapi melindungi martabat profesion perguruan dan masa depan pendidikan negara.
|