RAUB (dua, kiri) dan pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas daripada seorang penganggur pada sidang media di IPD Johor Bahru Selatan. FOTO Azizi Majid.
Johor Bahru: Rahsia seorang penganggur hidup mewah terbongkar selepas ditahan polis bersama syabu seberat 10.78 kilogram dianggar bernilai RM344,960.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan di kawasan kondominium mewah di Taman Abad, di sini pada 6.20 petang Khamis lalu.
"Pemeriksaan ke atas sebuah kereta dipandu suspek berjaya menemukan dadah berkenaan yang dibungkus dalam peket minuman teh bagi mengaburi mata pihak berkuasa. "Kita tidak menolak suspek turut memasarkan dadah berkenaan menggunakan laman sosial bagi tujuan edaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini hari ini.
Raub berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah selain ujian air kencingnya positif dadah jenis methampetamine.
Susulan penahanan suspek, polis turut merampas sebuah lori dan dua motosikal keseluruhannya bernilai RM432,960.
Katanya, suspek masih ditahan reman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
|