Tahanan reman lolos ketika terima rawatan di hospital
MOHD ISKANDAR OTHMAN
25 Januari 2026 11:53am

Suspek (gambar kecil) melarikan diri ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Sungai Bakap pada Jumaat lalu.
GEORGE TOWN – Seorang tahanan reman polis dilaporkan melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap pada Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3.45 petang selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang anggota polis yang ditugaskan mengawal suspek.
Ketika melarikan diri, suspek dipercayai masih memakai pakaian hospital berwarna biru dan putih.
“Suspek dikenali sebagai S Clemont, 47 tahun yang ditahan reman berkaitan kes di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, melibatkan kes pecah rumah dan mencuri motosikal di kawasan Sungai Bakap.
“Sebelum kejadian, suspek dibawa ke Hospital Sungai Bakap pada 22 Januari lalu untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami serangan sawan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Susulan kejadian itu, polis telah melancarkan Op Tutup bagi mengesan dan menangkap semula suspek.
Tambah beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kecuaian penjawat awam sehingga membolehkan tahanan melarikan diri, serta Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan yang sah.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Cheok Kian Soon di talian 012-619 3878, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di talian 04-585 8222, atau hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
https://www.sinarharian.com.my/article/765442/berita/semasa/tahanan-reman-lolos-ketika-terima-rawatan-di-hospital
|