CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 10771|Reply: 0

[Tempatan] 'Kuasa pengampunan bukan hadiah politik' - Al-Sultan Abdullah

[Copy link]
Post time 3-2-2026 07:27 AM | Show all posts |Read mode
KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bukanlah hadiah politik, jauh sekali suatu bentuk simpati peribadi.

Sebaliknya titah baginda ia adalah mekanisme perlembagaan yang sah dan berfungsi sebagai imbangan terakhir dalam sistem keadilan yang bersifat menghukum.

Sehubungan itu, baginda menitahkan supaya kuasa pengampunan itu wajar dilihat dengan emosi dan jiwa yang tenang, bukannya dengan kepala yang dingin atau sentimen berlebihan.

"Sebarang pengurangan hukuman tidak sesekali memadamkan sabitan mahkamah, tidak menghapuskan rekod kesalahan dan tidak pernah membatalkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas pentadbiran negara.

"Pengampunan dan pengurangan hukuman ini juga bukan eksklusif kepada satu nama, satu parti atau satu kedudukan.


"Setiap tahun, ratusan banduan penjara daripada pelbagai latar belakang, termasuk kes jenayah berat dan ringan, menerima pengurangan atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu," titah baginda melalui kenyataan disiarkan di Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat mencemar duli menghadiri Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-120 di Hotel Grand Darul Makmur, hari ini.

Turut berangkat sama, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam pada itu, baginda Sultan Pahang turut menekankan bahawa keputusan berkaitan pengampunan tidak dibuat secara unilateral, sebaliknya diputuskan melalui musyawarah Lembaga Pengampunan yang dianggotai wakil-wakil institusi utama negara atau negeri, sekali gus mencerminkan proses semak dan imbang yang berlapis.

Titah baginda, dalam tradisi Raja Berperlembagaan, raja bukanlah alat sentimen awam dan bukan juga tunduk kepada tekanan politik.

Sebaliknya, titah baginda ia berperanan sebagai payung keadilan yang menenangkan ketika emosi memuncak serta mengimbangi keadaan apabila suara lantang cuba memonopoli kebenaran.

"Kuasa pengampunan tidak harus ditafsir sebagai kelemahan sistem, sebaliknya sebagai peringatan jelas bahawa negara ini tidak ditadbir berdasarkan emosi media sosial, tidak menghakimi melalui pentas politik dan tidak menggantikan perlembagaan dengan kemarahan awam," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai negara yang berprinsip dan tegas serta mendoakan agar negara ini dan negeri Pahang khususnya sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-2-2026 12:48 PM GMT+8 , Processed in 0.045995 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list