Beijing: Seorang pencuri kereta mencekik seorang kanak-kanak berusia dua tahun selepas mencuri sebuah kereta dengan kanak-kanak berkenaan di dalamnya. Kanak-kanak itu berada di dalam kenderaan dicuri Zhou Xijun, 48, di wilayah Jilin, timur laut China, Isnin lalu. Kejadian itu mencetuskan kemarahan orang ramai di seluruh China. Gerakan memburunya membabitkan ribuan polis dan pemandu teksi dilancar sehingga dia menyerah diri dan mengaku melakukan kekejaman itu kelmarin.
Zhou menyedari kehadiran kanak-kanak itu di tempat duduk belakang selepas melarikan kereta itu. Dia berhenti di tepi jalan sebelum mencekik kanak-kanak itu hingga mati dan menanam mayat berkenaan dalam salji,” kata polis.
Tiada maklumat mengenai sama ada mayat itu sudah ditemui semula.
Media China memberi liputan besar-besaran terhadap kes itu dan berita mengenainya menguasai laman sosial media. Ibu bapa kanak-kanak itu meninggalkannya dalam kereta selama 10 minit sebelum menyedari kenderaan itu dicuri. - AP
|