|
KUANTAN - “Saya hanya ingat mati pada waktu tu, bila nampak dua gajah dewasa tidak jauh dari saya,” demikian luahan warga emas, Sharif Ibrahim, 73, ketika ditemui di kebunnya di Kampung Bayas, Kuala Kenau, di sini.
Sharif berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Isnin lalu, dia ke kebun miliknya untuk melihat tanaman sebelum dikejutkan dengan sekumpulan gajah yang sedang memakan tanaman di kebunnya seluas dua hektar itu.
“Ketika itu, saya hanya mampu membaca doa memohon supaya gajah tersebut lari dari kebun.
“Nasib baik tak lama selepas itu, kumpulan gajah itu beredar ke hutan seberang,” katanya.
Sharif berkata, tanaman seperti cempedak, getah dan durian dimusnahkan gajah terbabit menyebabkan dia mengalami kerugian kira-kira RM3,000.
Katanya, kejadian sama turut berlaku tahun lepas dan dia sudah buntu memikirkan masalah itu.
“Kadang-kadang rasa kecewa dan putus asa nak berkebun, kalau hasilnya sering dimusnahkan gajah.
“Sekarang kumpulan gajah berkenaan sudah tidak takut lagi malah sering muncul pada waktu petang untuk mencari makanan,” katanya.
Sharif berkata, kejadian kebun diserang gajah semakin menjadi-jadi kebelakangan ini malah sejak dua minggu lalu, banyak kebun penduduk musnah akibat serangan sang belalai itu.
Sementara itu, Pengarah Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Khairiah Mohd Sharif berkata, pihaknya sudah melakukan pemantauan di beberapa kawasan serangan haiwan berkenaan bagi memastikan gajah tidak terus menceroboh kebun penduduk.
Menurutnya, lima anggota Unit Elit Gajah Perhilitan negeri sudah berada di Sungai Lembing bagi melakukan aktiviti menghalau, malam kelmarin dan mereka terserempak dengan kumpulan haiwan berkenaan.
“Kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan serangan gajah di kawasan Sungai Lembing tidak terus berlaku setiap tahun, kemelut berkenaan menyebabkan pekebun menanggung kerugian,” katanya.
|
|