|
Teks & foto oleh Haswari Ali
Email: [email protected]
KUALA LUMPUR, 26 MEI 2014: Kemunculan pelakon kacak Norman Hakim ketika majlis pencarian Men’s Health Cover Guy tenyata telah menjadi perhatian ramai terutama peminatnya yang mengikuti perkembangannya selama ini.
Malah tidak kurang juga beberapa pihak yang terkesima dengan bentuk fizikal yang dimiliki suami kepada pelakon Memey Suhaiza berkenaan.
Ramai yang tidak menyangka, dalam usia Norman Hakim yang semakin meningkat dan sudahpun berumah tangga serta memiliki cahaya mata, dia masih menjaga fizikalnya agar kekal tegap, sasa serta cukup maskulin.
Ditemui ketika majlis berkenaan, Norman Hakim berkata dia sangat berbesar hati apabila diundang untuk menjayakan majlis berkenaan yang turut dihadiri ramai jejaka yang memiliki tubuh badan sasa sepertinya.
Katanya, sudah lama dia tidak muncul dalam kebanyakan majlis seperti itu dan undangan yang diterima tidak dapat ditolak dengan begitu sahaja apatah lagi dia memang sorang yang cukup disiplin dalam soal menjaga kesihatan tubuh badan agar kelihatan segar.
“Memang saya sudah lama tidak muncul dalam banyak acara, maklum sajalah sibuk dengan penggambaran drama terutama sekarang selepas penggambaran drama Hari Ibu kemudian saya terbabit dengan Hari Bapa dan kini banyak untuk drama sempena lebaran serta hari raya.
“Bila diundang ke majlis seperti ini, rasa seronok pula rasanya dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk menjaga kesihatan dan memastikan tubuh badan saya kekal sihat serta lebih berotot,” katanya yang ringkas menggayakan kemeja-T putih sendat, seluar panjang denim serta topi.
Kemunculannya disedari ramai pihak dan tidak ketinggalan mahu merakamkan gambar bersama-sama jejaka tinggi lampai yang tak pernah lokek dengan senyuman itu.
Jelas Norman Hakim, teringin juga dia muncul dengan menunjukan tubuh badannya untuk majalah seperti Men’s Health, tetapi dia masih belum pasti sekiranya bentuk tubuhnya itu melengkapi kriteria yang diinginkan.
“Nak juga muncul dalam majalah seperti ini, tapi tak mahulah terlalu menayang sangat. Lagipun banyak lagi yang perlu saya perbaiki jika nak muncul,” katanya sambil tersenyum simpul.
Credits: murai.com.my Last edited by achik2009 on 26-5-2014 08:57 AM
|
|