CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3216|Reply: 1

Konflik Israel-Palestin dari sudut pandang Katolik

[Copy link]
Post time 22-7-2014 12:59 PM | Show all posts |Read mode
Konflik Israel-Palestin dari sudut pandang KatolikCALVIN OHSEY JULY 21, 2014

Konflik antara Israel dan Palestin adalah satu konflik antarabangsa.

Justeru itu ia perlu ditelusuri dengan dalam daripada pelbagai aspek agama, bangsa, geo-politik serta sejarah yang berusia beribu-ribu tahun.

Jika dinilai daripada satu sudut, maka prejudis serta kebencian emosi akan menjadi-jadi.

Malah di Malaysia, saya risau melihat kebencian umat Islam terhadap Israel lebih bersifat agama yang diluahkan secara sempit. Saya agak kurang bersetuju kerana gerakan keganasan yang berlaku di Israel didalangi oleh gerakan politik Zionis dan bukannya kesemua umat Yahudi. Jadi ianya tidak adil jika kesalahan itu diletakan pada sesuatu agama atau bangsa.

Apa yang juga jelas, tetapi dilupakan di Malaysia, adalah realiti bahawa ramai Kristian juga antara mangsa di Palestin. Masyarakat Kristian Palestin antara minoriti yang juga dihalau dari tanah mereka akibat kekejaman dasar penindasan rejim zionis.

Malah golongan Kristian yang terikat dengan konflik ini terdiri daripada banyak mazhab: ada yang Katolik Barat, ada yang Katolik Timur, Ortodox, Luteran dan sebagainya. Kesemuanya menganggap Yerusalem (Al-Quds) sebagai kota suci dalam sejarah perkembangan kepercayaan agama Kristian.

Di sini rakyat Malaysia mempunyai satu cabaran yang harus disahut dengan nuanza yang kritis: iaitu mengiktiraf keunikan setiap identiti agama yang terbabit dalam konflik Israel-Palestin tanpa terjerat ke dalam sentimen kelompok yang sempit sehingga membawa kepada prejudis yang menjadi-jadi.

Bak kata lain cabarannya ialah dalam memperjuangkan keamanan atas dasar kemanusiaan dan pada waktu yang sama memerlihara hak setiap identiti yang terbabit.

Ini boleh, malah pernah, dilakukan. Contohnya seperti Edward Said, antara cendekiawan dan aktivis termasyhur di dunia. Beliau berlatarbelakang Kristian Palestin, namun bertungkus lumus sepanjang hayatnya untuk memperjuangkan kebebasan Palestin atas dasar kemanusiaan.

Di sini saya ingin menjelaskan sedikit sebanyak sudut pandang Katolik terhadap isu ini, dengan harapan ia boleh meluaskan ruang dialog.

Anda akan lihat perbezaan yang ketara dengan perspektif Muslim dari segi sejarah, tetapi harapan saya ialah persamaan yang ada juga ketara dan penting, dan boleh mengilhamkan landasan untuk perpaduan dan kerjasama lanjut.

Bangsa Israel berdasarkan Alkitab

Dalam Alkitab, nabi Abraham (Ibrahim) mempunyai 2 isteri iaitu Hagar dan Sarah. Melalui Hagar, Ismael (Ismail) dilahirkan dan keturunannya tersebar di kawasan Arab. Sementara itu, Sarah melahirkan Ishak pada usianya yang agak lanjut. Ishak mempunyai dua orang anak yang bernama Esau dan Yakub.

Yakub pula mempunyai keturunan yang besar iaitu 12 anak: Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, Zebulon, Benyamin, Dan, Naftali, Gad, Asyer dan Yusuf. Melalui anak-anak Yakublah, mereka menjadi nenek moyang bagi 12 keturunan suku bangsa Israel.

Sehinggalah kejadian Yusuf dijual kepada rakyat Mesir, dan seluruh keturunan Yakub berpindah ke Mesir. 400 tahun lamanya mereka tinggal aman di Mesir sehingga diperhambakan.

Kemudian muncul Nabi Musa dan nabi Harun yang turut serta dalam misi membebaskan umat Israel daripada perhambaan dan membawa mereka kepada tanah perjanjian mereka seperti yang dijanjikan Tuhan.

Sehingga tahun 1050 SM, umat Israel berkembang dan perlahan-lahan sehingga menguasai seluruh tanah Kanaan (yang kini dikenali Palestina) dan nabi mereka Samuel ketika itu mula melantik Saul sebagai raja atas permintaan umatnya.

Sistem beraja kerajaan Israel diteruskan lagi kepada nabi Daud dan Salomo (Sulaiman) sehingga kerajaan Israel terpecah dua bahagian iaitu kerajaan Israel di bahagian utara dan kerajaan Yehuda di bahagian selatan. Perpecahan yang terjadi kerana perebutan kuasa antara keturunan Raja Salomo. 10 suku pro kerajan Israel manakala 2 suku iaitu suku Benjamin dan suku Yehuda yang merupakan pro kerajaan Yehuda.

Kerajaan Isreal hancur apabila diserang bangsa Assyria pada tahun 722 SM dan keberadaan 10 suku ini sehingga kini masih lagi menjadi misteri. Kerajaan Yehuda pula bertahan sehinggalah di serang oleh kerajaan Babilonia pada tahun 586 menyebabkan mereka diusir daripada Yerusalem. 2 suku (membentuk Yahudi masa kini) iaitu Benjamin dan Yehuda inilah yang terselamat dan bertahan sehingga kini.

Kemudian penguasaan asing beterusan lagi dibawah kekuasaan Raja Persia, Cyprus dan Darius dimana bangsa Israel yang terselamat dibenarkan kembali dan membangunkan kembali Yerusalem.

Penguasaan Alexander the Great turut menyaksikan bangsa Israel masih bertahan di Yerusalem sehingga tahun 165 SM dimana Yudas Makabe melakukan revolusi yang dikenali sebagai Revolusi Makabe yang berakhir berjaya ditahun 163 SM dan Israel menjadi negara merdeka selama 100 tahun.

Kemerdekaan dinikmati singkat kerana bangsa Israel dijajah lagi oleh kerajaan pagan Romawi. Pada tahun 70 AD, majoriti umat Israel diusir lagi daripada Yerusalem sehingga berselerak ke seluruh muka bumi.

Kemudian penguasaan Romawi diganti kerajaan Kristian Byzantium, Tentera Salibi, monarki Arab, Khalifah Turki Uthmaniyah (1517 hingga 1917) dan British sehingga akhirnya tahun 1948 bangsa Yahudi dikumpulkan dan ditempatkan ditanah asal mereka setelah diberi kemerdekaan oleh PBB dan membentuk negara Israel seperti yang dikenali sekarang.

Sejarah Palestin

Palestin mahupun Palestina berasal dari terjemahan Ibrani iaitu Pelesheth; sebutan Yunani menyebut Philistine. Mengikut kajian sejarah, bangsa asal Palestin merupakan para pelaut Eropah yang berasal dari Yunani. Wilayah Gaza dulu bernama Philistia atau rumah para

Setelah umat Israel dijanjikan wilayah Kanaan sebagai tanah perjanjian, wilayah ini merupakan penempatan bangsa asal Palestin ketika itu.

Bangsa asal Palestin di Kota Gath, wilayah Philistia ketika itu terlalu kuat sehinggalah Daud mampu menewaskan Goliat yang dikatakan bertubuh raksasa dan sekaligus menguasai menguasai seluruh tanah Kanaan dan bangsa Palestin serta bangsa-bangsa lain ketika itu sebagaimana yang diceritakan dalam Alkitab Perjanjian Lama.

Saat kerajaan Babilonia menakluki kerajaan Israel, suku bangsa asli Palestin ini akhirnya musnah.

Semasa Israel berada dibawah kerajaan Romawi selepas 100 tahun Revolusi Makabe, Hadrian penguasa Roma saat itu mengabungkan wilayah Samaria, Yudea, Galilea dan Idumea dalam satu propinsi yang disebut Syria Palastina. Hadrian mempunyai niat untuk melenyapkan Israel daripada sejarah. Disaat itu dia sedar bahawa bangsa asli Palestin seperti yang ada dalam Alkitab adalah musuh bangsa Israel, Hadrian sengaja menggunakan nama Palastina untuk menyakiti hati kaum Yahudi.

Pada tahun 330 AD hingga 638 AD Kerajaan Kristian Byzantium menguasai Palastina diikuti pada tahun 638 kerajaan Arab menguasai Palestin selama 461 tahun. Tentera Salibi pada tahun 1099 AD menguasai Palestina dalam kempen Perang Salib tapi pada tahun 1244 AD, monarki Arab kembali mengambil alih Palestina.

Sepanjang tempoh orang Arab memerintah, penghijrahan bangsa Arab ke Palestin telah membentuk suatu entiti baru bagi bangsa Palestin sehingga menjadikan umat Israel yang ada ketika itu sebagai majoriti kecil.

Pada tahun 1517 kerajaan Turki Uthmaniyah menyerang kerajaan Arab dan mengambil alih wilayah Palestina selama lebih dari 400 tahun. Dalam siri penjajahan ini, bangsa Arab Palestin dan Yahudi bersama-sama menjadi korban penjajahan bangsa lain. Pada tahun 1917

British mengalahkan kerajaan Turki Uthmaniyah dan menguasai Palestina hingga tahun 1948.

Kedudukan Israel dan Palestin dari sudut kaca mata umat Kristian

Negara Israel sekarang masih lagi belum menepati ciri-ciri yang ada dalam Alkitab disebabkan ianya lebih kecil daripada kerajaan Israel semasa raja Daud. Namun, jika disoroti teliti, umat Israel tetap mempunyai hujahnya tersendiri membentuk negara mereka setelah kira-kira 3300 tahun bangsa ini dijajah.

Sepanjang mereka dalam buang, mereka juga tidak dilayan dengan baik di negara-negara asing bahkan ada usaha penghapusan etnik di Jerman dibawah Nazi.

Janji Tuhan sendiri telah berfirman kepada Nabi Musa dalam petikan Alkitab Perjanjian Lama ada menyebut,

“Aku akan menjadikan kamu umat-Ku sendiri, dan Aku akan menjadi Allah kamu. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, apabila Aku membebaskan kamu daripada perhambaan di negeri Mesir. Aku akan membawa kamu masuk ke negeri yang telah Aku janjikan dengan sumpah untuk diberikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan memberikan tanah itu kepada kamu sebagai milik kamu sendiri. Akulah TUHAN.”

(Keluaran 6:7-8)

Mewakili komuniti umat Kristian terbesar di dunia, Gereja Katolik memainkan peranan penting dalam menjaga hubungan baik antara Israel dan Palestin.

Gereja Katolik juga menyokong penuh usaha Palestin dalam membentuk negara merdekanya tersendiri dengan temeterainya perjanjian Inter Sanctam Sedem atque Consilium pro Liberatione Palaestinae (Perjanjian Asas Antara Takhta Suci dengan Organisasi Pembebasan Palestin).

Hubungan Vatikan dengan Israel dan Palestin terjalin sejak tahun 1948.  Gereja menyokong referendum pembentukan 2 negara yang dicadangkan PBB pada tahun 1947, hubungan baik antara agama Yahudi dan Islam, pentadbiran Gereja ke atas komuniti Katolik di Palestin dan Israel, status quo perlindungan terhadap rumah-rumah ibadat ketiga-tiga agama di Yerusalem (Baitulmaqqdis) daripada ancaman serta intimidasi serta segala usaha kemanusiaan dalam mencapai keamanan sejagat bagi Israel dan Palestin.

Kesimpulan

Jadi saya mengajak pembaca untuk berfikir dengan lebih tentang makna sebuah pembentukan keamanan oleh Paus Fransiskus:

“Pembentukan keamanan menyeru kepada ketabahan, yang melebihi daripada peperangan.

Ia merupakan keberanian untuk mengatakan ‘ya’ kepada dialog dan ‘tidak’ kepada keganasan; ‘ya’ kepada rundingan dan ‘tidak’ kepada pertikaian; ‘ya’ kepada kehormatan perjanjian dan ‘tidak’ kepada tindak tanduk provokasi; ‘ya’ kepada kejujuran dan ‘tidak’ kepada talam dua muka. Kesemua ini memerlukan ketabahan, dengan kekuatan serta kesungguhan.”

Memetik kata-kata Pakistan Votes sebagai penutup makalah, “Jikalau kamu tidak bangun menyuarakan bagi penindasan yang dilakukan terhadap Syiah, pembunuhan terancang Ahmadiyah, pengeboman gereja dan pembakaran kuil/tokong, mangsa undang-undang penghinaan agama, rogol serta pembunuhan, dan kesemua yang dibunuh oleh pengganas seperti TTP, ISIS dan Boko Haram dan hanya bersuara untuk Gaza, maka kamu bukanlah pro hak asasi manusia, tetapi hanyalah anti-Israel.”


- See more at: http://www.projekdialog.com/feat ... thash.EyYBmGqi.dpuf
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 22-7-2014 02:50 PM | Show all posts
nice say....we just need a freedom
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-12-2024 12:28 AM GMT+8 , Processed in 0.997066 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list