|
SHAH ALAM – Pelantikan wanita sebagai menteri besar di sesebuah negeri tidak menjadi masalah, bagaimanapun kredibiliti dan kebolehan individu tersebut menggalas tugas perlu dipertimbangkan.
Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainal Abidin berkata, melalui konteks Islam bidang kuasa menteri besar terbatas tidak seperti khalifah terdahulu yang menguruskan secara langsung ketenteraan, peperangan dan sebagainya.
“Pandangan ini tidak bererti saya bersetuju jika Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar Selangor, tetapi apabila kita katakan wanita tidak boleh menjadi menteri besar, kita kena beri alasan kenapa agama tidak membenarkan.
“Secara umumnya ada perbahasan serius di dalam kitab fiqah berhubung perkara ini dan majoriti para sarjana Islam tidak bersetuju wanita jadi khalifah dan mereka syaratkan lelaki. Tetapi kuasa menteri besar terbatas tidak seperti khalifah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, wanita dilantik sebagai pemimpin kini sudah menjadi perkara biasa asalkan mempunyai keupayaan mentadbir kumpulan, organisasi mahupun negeri.
Jelasnya, kebiasaan lelaki sebagai ketua atau pemimpin adalah tabiat manusia yang mahukan ia berlaku.
“Seperti contoh, calon presiden Amerika Syarikat melantik lelaki walaupun mereka membincangkan hak wanita tetapi mereka tidak pernah melantik wanita pun jadi presiden, menunjukkan memang untuk jadi pemimpin mesti lelaki.
“Tabiat wanita sendiri pun meletakkan lelaki sebagai pemimpin mereka dalam rumah tangga dan sebagainya.
"Tetapi apabila bercakap mengenai pengurusan, wanita juga mampu urus banyak perkara dan terbukti ada wanita yang telah menjadi guru besar, ketua pejabat, menteri dan isu ini sepatutnya tidak timbul,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu wanita tidak sesuai menjadi menteri besar di negeri ini kerana tidak boleh mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menunaikan solat Jumaat adalah sesuatu yang tidak wajar disensasikan.
“Ikut Sultan solat Jumaat bukan tugas hakiki menteri besar. Yang menjadi persoalan adalah, adakah Wan Azizah layak? Ia tiada kaitan dengan gender tetapi kemampuan beliau menjaga negeri,” katanya.
Read here: http://www.sinarharian.com.my/politik/bukan-gender-tapi-kelayakan-1.304531
|
|