|
Edited by ib-instaforex at 25-3-2015 06:41 PM
KUALA LUMPUR - Seorang tukang kebun hari ini dipenjara 14 hari dan didenda RM1,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah menikam seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di sini Sabtu lepas.
Majistret Zuraini Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Lawrence Munusamy, 43, yang didakwa mencederakan V. Suria, 32, dengan sebilah pisau sehingga mangsa cedera di pinggang dan mendapat 12 jahitan.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pondok Pengawal Apartment Rampai Court, Taman Sri Rampai, Wangsa Maju pada 4.30 petang, 21 Mac lepas.
Lawrence yang turut cedera dalam pergaduhan itu, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Ketika rayuan, peguam Mousa Azaddin yang mewakili Lawrence memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman paling ringan atas alasan tertuduh hanya sebatang kara dan hidup menumpang di rumah kawan-kawannya.
"Seumur hidupnya dia tidak pernah kenal siapa keluarganya, namun begitu dia mempunyai pekerjaan tetap sejak tahun lepas sebagai tukang kebun. Pergaduhan ini juga telah menyebabkan anak guam saya mengalami kecederaan," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan mempertimbangkan kesalahan yang telah dilakukan. - Bernama |
|