PASIR PUTEH – Seorang penarik kereta yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Jeram Pasu di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, suspek yang berusia 31 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan. Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, anggota polis pada awalnya mengekori sebuah kereta jenis Perodua Bezza dari Melor ke Jeram Pasu selepas mendapati kereta itu seperti dilihat cuba mengelak daripada polis yang menjalankan Operasi Jegah Jenayah. Menurutnya, semasa tiba di simpang masuk ke Jeram Pasu, anggota polis bertindak memintas kereta itu sebelum suspek melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
“Suspek kemudian keluar dari keretanya dan melepaskan beberapa das lagi tembakan ke arah anggota polis. Keadaan itu menyebabkan kejadian berbalas tembakan antara polis dan suspek. “Lelaki tersebut ditembak mati di lokasi kejadian. Pemeriksaan terhadap suspek menjumpai sepucuk pistol jenis semi auto yang digunakan semasa kejadian tembakan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini. Mohd. Yusoff memberitahu, polis turut menjumpai sepucuk pistol tiruan dan sebilah parang di tempat duduk pemandu kereta SUMBER : – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT