johhny Depp di dalam The Lone Ranger SETELAH memperoleh kutipan sebanyak RM10.8 bilion (AS$3.6 bilion) menerusi filem lanun – Pirates of the Caribbean, penerbit Jerry Bruckheimer dan studio produksi Disney yakin terhadap kekuatan Johnny Deep dalam mempengaruhi minat penonton untuk karya terbarunya. Kali ini pelakon itu akan menggalas tugas sebagai pejuang Red Indian dalam sebuah filem aksi, The Lone Ranger. Karya itu adalah diilhamkan daripada sebuah siri radio pada tahun 1933 sebelum bertukar menjadi satu siri televisyen popular di Amerika Syarikat pada tahun 1949-1957. Dengan bajet kira-kira RM600 juta (AS$200 juta), filem ini menceritakan bagaimana seorang peguam bernama John Reid bertukar karakter dengan memakai topeng hitam serta bertopi koboi putih untuk menjadi seorang wira. “Ramai yang membesar dengan siri itu dan saya percaya filem The Lone Ranger dapat menunjukkan kepada semua pihak bahawa kita sangat menghargai nostalgia itu,” kata Bruckheimer. Bagaimanapun, jika anda pernah menonton siri televisyen sebelum ini, pasti perasan watak Tonto dipaparkan secara stereotaip sebagai seorang kaum peribumi Amerika Utara tanpa jiwa dan latar budaya - sekadar ditampilkan sebagai gandingan The Lone Ranger yang diangkat wira utama. Enggan meletakkan karakter Tonto hanya sebagai pendamping karakter utama, Depp telah menyuntik elemen kelucuan, kebijaksanaan dan keramahan yang pernah diterapkan menerusi karakter-karakter lakonannya sebelum ini seperti Willie Wonka, Edward Scissorhands dan Jack Sparrow ke dalam karakter Tonto. Malah hanya menerusi gerak isyarat pada wajah, kerdipan mata dan pergerakan badannya, misi dan visi Depp jelas sekali adalah sebagai usahanya untuk menarik minat penonton terhadap Tonto versi terkini itu. Apa yang menarik, Tonto yang direalisasikan Depp itu masih mengekalkan sikap figura yang sudah sebati di mata penonton yang pernah menyaksikan naskhah The Lone Ranger sejak berdekad yang lalu. Kekok bertutur dalam bahasa Inggeris dan sentiasa melagukan doa dalam bentuk yang sukar difahami. Itu dua ciri sinonim Tonto yang dikenali sekian lama di layar perak dan kaca TV tetapi dikekalkan oleh Depp dalam menghidupkan semula karakter tersebut. “Saya fikir bodohlah diri ini jika tidak kembali menampilkan ciri-ciri yang pernah ada pada Tonto dan memaparkan kembali dirinya yang sudah biasa dikenali penonton,” jelasnya. Pengembaraan menghiburkan Bagi anda yang mengenali naskhah Bruckheimer, anda pasti sudah dapat mengagak perjalanan cerita dalam bentuk pengembaraan ini. Setiap watak diperkenalkan dalam tempoh singkat dan perjalanan cerita bergerak dari satu bab ke satu bab tanpa lupa untuk membawa bersama watak-watak yang lain. Apatah lagi, meletakkan Depp selaku teraju utamanya membuatkan jalan cerita berdurasi 2 jam 30 minit tidak terasa lamanya. Pendek kata, apabila anda menonton filem ini, anda akan terasa betapa 'gilanya' Depp dalam menterjemahkan watak Tonto sehingga anda tidak akan kering gusi bersamanya. Malah debaran serta rasa benci Reid dan Tonto dapat turut dirasai oleh penonton. Namun misi demi misi yang dijayakan Tonto dan penjelasan mengenai siapakah Tonto yang sebenarnya akhirnya melepaskan segala persoalan apabila jalan cerita sudah sampai ke kemuncaknya. Gandingan mantap Bagaimanapun, mungkin dek pengalaman Depp yang lebih lama dalam bidang lakonan membuatkan Lone Ranger kali ini, iaitu Hammer kelihatan ada kalanya sedikit tenggelam berbanding Depp. Namun gandingan mereka tetap mantap apatah lagi Hammer sebagai John Reid yang selama ini percaya kepada keadilan berasaskan undang-undang akhirnya terpaksa akur bahawa keadilan tidak semestinya berasaskan undang-undang. Lebih melucukan apabila Tonto sering menegur caranya yang ada kalanya seperti tidak kena dan sering dipanggil Kimosabe. Manakala dari segi sinematografi dan aksi yang dipamerkan, filem ini sememangnya cukup mantap dan cukup rencahnya. Memang tidak rugi untuk meluangkan hari minggu anda dan berhibur bersama Depp dalam filem ini.
|
ADVERTISEMENT