|
sumber: Sinar Harian
Mila teroka bidang pengacaraan
![](http://www.sinarharian.com.my/imagesSH/7704736.jpg)
Juara Akademi Fantasia 5 (AF5) melangkah ke satu lagi fasa dalam karier seni sebagai pengacara.
Berbekal tanggungjawab dan ingin memberi kesedaran kepada masyarakat di luar sana, Mila bersetuju untuk sama-sama terlibat dalam sebuah program kesedaran yang akan disiarkan Julai ini.
Artis genit itu berkata, walaupun tidak yakin mempunyai bakat dalam bidang pengacaraan, Mila akan memberi komitmen yang terbaik bagi melaksanakan tanggungjawabnya bukan setakat sebagai seorang artis, tetapi juga sebagai seorang remaja.
Namun saat ditanya adakah ini sebagai langkah pertama sebelum lebih serius dalam bidang pengacaraan, Mila menafikannya.
“Buat masa ini, fokus utama saya adalah menyanyi dan dalam masa yang sama jika ada tawaran berlakon, saya akan terima, tapi untuk mengacara Mila belum ada kekuatan untuk mengacarakan program seni lain,”
“Mila bersetuju untuk menyertai program berkenaan kerana Mila rasa itu salah satu platform untuk Mila menjalankan tanggungjawab sosial sebagai seorang artis,” katanya kepada Sinar Harian.
Mila berkata di dalam program itu nanti, dia hanya terlibat dalam dua episod dari 12 episod yang disiarkan. Manakala episod selebihnya akan dijayakan oleh beberapa artis lain.
“Dalam program itu nanti Mila hanya akan mengacara pada pembukaan, tengah dan penutup episod. Lagipun ia berbentuk rakaman dan Mila diberi skrip, jadi Mila rasa tak sukar untuk melaksanakannya,”
“Berbanding dengan rancangan seni lain, Mila rasa lebih berat untuk menerima kerana bukan mudah untuk mengacara, ia perlukan komitmen dan keyakinan diri, jadi jika betul-betul rasa yakin untuk melakukan mungkin Mila terima, apa-apa pun bergantung pada keadaan dan jadual Mila,” katanya.
Mila bertudung
Menariknya, di dalam program itu nanti, Mila akan tampil bertudung bersesuaian dengan format rancangan itu yang akan disiarkan di Astro Oasis.
Bagi Mila, tidak sukar untuk tampil bertudung kerana sebagai seorang Muslimah, niat di hatinya tetap ada untuk mengenakan tudung.
“Mila tidak rasa hipokrit bila pakai tudung dalam program itu tetapi di luar tidak, kerana Mila bertudung bersesuai dengan program itu yang berbentuk Islam dan akan disiarkan di Astro Oasis,”
“Lagipun niat di hati tetap hendak bertudung, tetapi memandangkan Mila masih menyanyi, jadi macam tak sesuai pula nak bertudung sambil menari-nari di atas pentas, mungkin satu hari nanti, bila masa sesuai, Mila tetap bertudung juga,” katanya.
Sibuk album kedua
Sementara itu, sebaik diajukan perkembangan terkininya, Mila mengakui sedang sibuk dalam proses pembikinan album kedua yang akan diterbitkan oleh syarikat miliknya sendiri iaitu LuvMila Corporation.
Mila berkata, dia begitu teruja dalam pembikinan album kali ini kerana akan diterbitkan oleh syarikatnya malah kerjasama dari komposer ternama yang sudi mencurahkan karya di dalam albumnya kali ini.
“Antara komposer yang terlibat adalah Ajai dan Aidit Alfian, walau bagaimanapun Mila akan cuba mendapatkan khidmat Audi Mok dan Amir untuk melengkapkan lagu di dalam album kedua ini,” katanya.
Mila berkata dia amat berharap untuk mendapatkan khidmat Audi kerana amat menyukai hasil kerja komposer terkenal itu dan menyukai hasil kerja komposer Amir yang terkenal sebagai pencipta Bengang nyanyian Akim.
Selain dari pembikinan album keduanya, Mila turut menerima tawaran berlakon dan salah satunya adalah program raya yang akan memulakan penggambaran minggu hadapan. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|