|
![](http://photo.murai.com.my/532010_adrenalinft(a).jpg)
Teks oleh Thani Hasbullah
Foto Mazlan Photography
KUALA LUMPUR, 3 MEI 2010: Faizal Tahir antara nama yang paling menyerlah apabila albumnya, Adrenalin meraih kejayaan besar dalam penganjuran Anugerah Industri Muzik kali ke 17 (AIM17) yang berlangsung malam tadi.
Album terbitan Audi Mok, Faizal Tahir dan Ahmad Izham Omar itu merangkul 2 anugerah, iaitu Anugerah Album Terbaik dan Album Rock Terbaik.
Menerusi kategori Album terbaik, Adrenalin telah mengetepikan Allahu Rabbi (InTeam), Dayang Live (Dayang Nurfaizah) dan K.O. The Mixtape (DJ Fuzz & Malique). Adrenalin turut menewaskan album Rasa (Flop Poppy), Mencari Konklusi (Hujan), Prolog 2009 (Maximus) dan Rasopariso (XPDC) melalui kategori Album Rock Terbaik.
Bagaimanapun Faizal memberitahu, dia begitu bernasib baik kerana album tersebut telah berjaya dikeluarkan di akhir-akhir sebelum penjurian AIM17 dilakukan. Ia membolehkan Adrenalin tercalon melalui kedua-dua kategori itu.
"Sebenarnya kami memang tidak menjangkakan akan menang pada malam ini kerana khuatir Adrenalin terlepas pandang disebabkan ia masih baru. Malah melalui kategori Album Rock, saya juga jangka Hujan akan menang.
"Secara peribadi kejayaan Adrenalin pada malam ini bukanlah hasil kerja saya seorang diri. Selain rakan sekerja, ia adalah hasil usaha keras semua pihak termasuk media, keluarga, rakan dan peminat. Saya menganggap semuanya sebagai keluarga saya.
"Saya tahu, banyak dugaan yang saya terpaksa tempuhi selama ini termasukan masalah kesihatan. Alhamdulillah semuanya saya lalui dengan tabah, malah berjaya meraih kejayaan pada malam ini. Saya menganggap Adenalin sebagai tuah pada tahun ini," kata Faizal selepas ditemui murai.com.my.
Selain Faizal, Yuna turut mencipta nama apabila merangkul 3 anugerah. Lagu ciptaan Yuna, Dan Sebenarnya meriah 2 gelaran dalam kategori Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik. Pelajar jurusan Undang-undang dari Universiti Teknologi Mara ini turut merangkul Artis Baru Terbaik menewaskan Azlan & The Typewriter, Bunkface, Prema Yin dan Tomok.
"Ini adalah kali pertama saya terlibat ataupun tercalon dalam AIM. Tercalon dalam kategori pun saya cukup bangga, apatah lagi menang melalui 2 kategori. Bagaimanapun, ia mungkin membuatkan tanggungjawab saya semakin besar selepas ini.
"Saya juga akan bekerja keras selepas ini bagi mengahasilkan muzik yang lebih baik. Buat masa sekarang ini pun saya tengah bertungkus lumus menyiapkan album berbahasa Melayu," kata Yuna.
Berikut adalah antara ulasan daripada penerima anugerah lain:
Bunkface – Anugerah Lagu Rock Terbaik & Anugerah Kembara
"Ini adalah pencapaian tertinggi Bunface dalam industri muzik tanah air. Saya berbangga kerana usaha kami selama ini, menjelajah ke luar negara sekaligus mengharumkan nama Malaysia dipandang tinggi pihak. Kami telah membuat persembahan di Maldives, Australia, Singapura diatas jemputan orang disana. Pada setiap show kami pastinya turut menyanyikan lagu berbahasa Melayu. Saya percaya dengan cara ini ia turut mengembangkan bahasa Melayu ke luar negara.
"Kami tidak boleh beri penjelaskan samaada kami layak ataupun tidak menerima anugera ini kerana ia adalah keputusan pihak komiti akademi. Kami hanya menerimanya dengan rasa bangga," katanya.
Dato' Siti Nurhaliza - Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) & Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu (Duet bersama Kris Dayanti)
"Siti bersyukur kerana masih lagi bertahan dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita). Ia adalah kemenangan ke 12 dalam kategori ini. Bagaimanapun siti tidak menyangka akan menang melalui kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu, sebab ia adalah pencalonan pertama dalam kategori ini.
"Pada penganjuran kali ini juga, Siti lihat Yuna sangat menyerlah dan pencapaian beliau dalam bidang nyanyian sangat memberangsangkan. Bagi Siti beliau adalah genius dalam muzik," katanya.
Hazami - Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)
"Ini adalah kemenangan pertama saya dalam AIM selepas berada dalam industri muzik sejak lebih sepuluh tahun. Ia membuatkan saya macam sedang bermimpi. Saya langsung tidak menjangkakan cubaan pada tahun ini nampaknya mengena. Saya juga mengangap ia sebagai nasib dan permulaan baru dalam perjalanan seni saya. Jika tahun-tahun sebelum ini, saya merasakan formula saya tidak menjadi.
"Bagaimanapun kita semua merancang, Tuhan yang menentukan. Apa-apapun saya rasa sangat bersyukur diatas kemenangan pada malam ini," katanya.
Credit: Murai.com.my |
|