CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1471|Reply: 1

Penyakit atopik yang ditakuti

[Copy link]
Post time 23-10-2021 08:58 PM | Show all posts |Read mode
'Atopic March' hantui kanak-kanak


Dr Senthil Kumarran.

Penyakit atopik termasuk ekzema, alergi makanan, rinitis dan asma kerap dideritai kanak-kanak disebabkan alahan makanan, debu atau perkara tertentu, malah boleh berterusan sehingga dewasa.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, Pakar Perunding Pediatrik, Pantai Hospital Laguna Merbok, Dr Senthil Kumarran ada jawapan berkaitannya.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan alahan?

Alahan adalah suatu keadaan disebabkan oleh aktiviti sistem imun (sistem pertahanan badan) yang tidak normal.

Fungsi sistem imun secara amnya adalah untuk melindungi badan daripada jangkitan kuman atau bendasing berbahaya. Adakalanya, sistem imun ini melakukan kesalahan dengan menyerang bendasing (alergen) yang sebenarnya tidak berbahaya.

Proses ini dikenali sebagai 'reaksi alahan' , dan boleh dialami oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira jantina atau usia.

2. Apakah simptom kanak-kanak yang mengalami alahan?

Simptom pada kanak-kanak mengalami alahan boleh dibahagikan kepada gejala pada alahan ringan dan gejala pada alahan yang berat. Pada alahan yang ringan, gejala ditemui adalah seperti kemerahan atau pembengkakan pada mata atau kulit, rasa gatal, bersin, hidung berair, muntah dan cirit birit.

Pada alahan yang berat atau dikenali sebagai 'reaksi anafilaksis', gejala yang ditemui adalah seperti seperti sesak nafas, nafas berbunyi, hilang kesedaran, dan tekanan darah rendah.

3. Adakah alahan boleh menyebabkan jadi penyakit lain?

Reaksi alahan adalah punca terbentuknya beberapa jenis penyakit seperti eksema, alahan makanan, resdung dan asma.

Penyakit ini secara kolektif dikenali sebagai 'Penyakit Atopik', dan ia selalunya bersifat keturunan. Kejadian penyakit atopik pada kanak-kanak semakin meningkat di seluruh dunia.

Individu yang mengalami penyakit atopik akan menunjukkan gejala dari zaman bayi lagi, iaitu bermula sebagai eksema. Ini akan diikuti dengan alahan bahan makanan. Apabila individu semakin membesar, ia boleh mengalami masalah resdung (allergic rhinitis) dan asma, sementara gejala eksema dan alahan makanan dapat pulih beransur-ansur.

Perjalanan penyakit atopik ini dikenali sebagai 'Atopic March' (perjalanan atopik), di mana gejala yang muncul berubah seiring dengan perkembangan usia.


Eksema: Penyakit kulit muncul sebagai ruam kemerahan pada pipi, pelipat tangan atau kaki, tengkuk, kepala dan bahagian badan yang lain. Ruam ini berserta rasa gatal dan kadangkala disertai dengan rembesan cecair.

Eksema menyebabkan kerosakan pada struktur pertahanan kulit meningkatkan risiko jangkitan kuman pada kulit. Ekzema bermula dari zaman bayi dan pada kebanyakan pesakit akan beransur pulih sesuai dengan pertambahan usia. Namun, pada sesetengah pesakit ia dapat bertahan sehingga ke usia dewasa.

Alahan makanan boleh disebabkan oleh makanan atau minuman seperti susu lembu, soya, telur, gandum, kacang, ikan dan makanan laut lain. Setiap pesakit boleh mempunyai alahan terhadap bahan makanan yang berlainan. Gejala alahan makanan adalah seperti muntah, cirit-birit, lebam atau ruam kulit. Meskipun jarang, terdapat juga kemungkinan reaksi berat yang mengancam nyawa seperti kesukaran bernafas, tekanan darah rendah dan koma.

Resdung (allergic rhinitis): Secara umumnya muncul pada usia dua tahun ke atas. Gejala penyakit resdung seperti bersin, gatal hidung, hidung tersumbat atau berair. Gejala ini lebih teruk pada awal pagi dan membaik pada waktu siang. Di negara Barat, penyakit ini lebih sering pada musim bunga, akibat reaksi alahan terhadap debunga di persekitaran.

Asma: Penyakit alahan menyebabkan kesukaran bernafas dan gejala lain seperti batuk dan nafas berbunyi. Ia dicetuskan oleh pendedahan terhadap bahan alergen melalui udara atau makanan.

Sesetengah pesakit boleh mengalami kesukaran bernafas yang teruk dan mengancam nyawa sekiranya tidak diberi rawatan awal.

4. Apakah bahan yang bolegh menyebabkan reaksi alahan?

Bahan menyebabkan alahan dikenali sebagai 'alergen' , dan contoh alergen adalah seperti berikut :

Bahan makanan atau minuman:
Contohnya, susu lembu atau kambing, soya, telur, gandum, kacang, ikan, makanan laut , daging dan lain-lain. Makanan penyebab alahan ini adalah berbeza untuk setiap pesakit.

Gejala yang timbul selalunya membabitkan saluran pencernaan, tetapi ada kalanya terjadi alahan berat di seluruh badan.

Ubat-ubatan
: Sebarang jenis ubat boleh menimbulkan reaksi alahan. Contoh ubat yang lazim menimbulkan reaksi ini adalah golongan antibiotik dan penahan sakit. Setiap kali ke doktor atau farmasi, individu yang mempunyai alahan ubat perlu membawa kad alahan (allergic card) yang menyatakan nama ubat berkenaan dengan jelas supaya tidak diberi ubat sama.

Haiwan atau serangga
: Haiwan yang sering menyebabkan alahan adalah haiwan peliharaan atau liar berbulu seperti kucing, anjing, arnab, burung dan lain-lain.

Ia terjadi apabila terdapat kontak dengan bulu, air liur, kencing atau najis haiwan itu. Alahan disebabkan bulu binatang sebenarnya disebabkan oleh sel-sel kulit mati yang melekat pada bulu itu.

Memandikan binatang peliharaan dengan kerap dan memotong pendek bulunya dapat membantu untuk mengurangkan kemungkinan alahan. Selain itu, terdapat pelbagai jenis serangga yang dapat menimbulkan reaksi alahan melalui gigitan atau sentuhan, seperti lebah, nyamuk, pepijat, hama habuk, semut api, lipas dan lain-lain.

Debunga
: Alahan terhadap debunga daripada tumbuh-tumbuhan sering dijumpai di negara Barat atau bermusim. Debunga ini dibawa melalui udara dan sering kali menimbulkan gejala pada hidung dan mata. Kandungan debunga dalam udara meningkat pada waktu hujan, menyebabkan peningkatan pada kejadian alahan.

Bahan logam, kulit atau getah :
Kontak dengan bahan itu selalunya terjadi dalam bentuk pakaian atau peralatan. Reaksi alahan selalunya tertumpu pada kawasan kontak pada kulit dan sekitarnya.




- Gambar hiasan

Asap
– Individu dengan penyakit atopik sering kali mempunyai saluran nafas yang sensitif dan dapat mengalami alahan apabila menghirup asap. Kejadian asma atau alahan yang lain sering ditemui pada kawasan dengan pencemaran udara (contoh: asap industri, kenderaan dan jerebu), juga apabila terdedah kepada asap secara langsung (pembakaran sampah atau asap rokok, mercun).

Debu
– Alahan terhadap debu disebabkan oleh hama habuk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ia melekat pada partikel debu dan memasuki badan melalui saluran nafas.

Gejala sering ditimbulkan seperti bersin, gatal hidung, atau serangan asma. Risiko alahan ini dapat dikurangkan apabila sering membersihkan (vakum) bilik, mengelakkan karpet, langsir tebal, atau patung mainan berbulu, menggunakan cadar anti-hama, sering mencuci cadar dengan air panas, mengurangkan kelembapan di dalam bilik dan menggunakan alat pembersih udara.

5. Adakah alahan pada kanak-kanak boleh membawa maut?

Reaksi alahan yang serius (anafilaksis) boleh mengancam nyawa. Penderita dapat mengalami kesukaran bernafas, tekanan darah rendah dan koma. Sekiranya tidak dirawat segera boleh menyebabkan kematian. Oleh sebab itu, kanak-kanak yang pernah mengalami reaksi anfilaksis , harus mempunyai 'Epipen' dibawa bersama mereka sepanjang masa.

Epipen adalah suatu alat berbentuk pen yang mengandungi adrenalin dan boleh disuntik pada otot apabila terdapat tanda awal reaksi alahan. Penggunaan Epipen apabila seseorang mengalami reaksi anafilaksis dapat menyelamatkan nyawa.

6. Pada umur berapa ibu bapa mengesan anak mereka mempunyai alahan? Adakah wujud ujian untuk menentukan alahan?

Gejala alahan dapat dikenal pasti dari usia bayi lagi, seperti dijelaskan pada 'Atopic March' di atas. Gejala terawal yang dapat dilihat adalah ruam kulit dikenali sebagai ekzema.

Terdapat dua jenis ujian untuk mengenal pasti bahan menyebabkan reaksi alahan pada seseorang, iaitu ujian darah atau ujian pada kulit (skin-prick test). Ujian ini membantu doktor untuk memberikan nasihat sesuai kepada ibu bapa, dari segi mengelakkan pendedahan terhadap alergen , sekali gus mengurangkan risiko reaksi alahan daripada berulang.

7. Adakah alahan akan hilang apabila anak meningkat dewasa?

Penyakit alahan boleh berubah dengan usia. Alahan terhadap sesuatu alergen boleh hilang, tetapi alahan terhadap alegen yang baru boleh muncul. Pada kebanyakan kanak-kanak dengan penyakit atopik, alahan mereka akan bertambah baik dengan peningkatan usia.

Ini adalah kerana sistem imun mereka menjadi semakin matang. Bagaimanapun, perlu diingat penyakit alahan dapat terjadi pada sebarang usia termasuk pada orang dewasa dan warga emas.

Sumber:https://www.bharian.com.my/hujun ... -hantui-kanak-kanak

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-10-2021 12:51 PM | Show all posts
terbaik content wak...
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 06:31 PM GMT+8 , Processed in 0.063563 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list