Beberapa keping gambar yang diperolehi DailyMail.com menunjukkan sepasang warga emas, Dorothy Campbell, 88, menemui suaminya, Gene, 89, yang dikuarantin disebabkan COVID-19.
Difahamkan, anak lelaki mereka, Charlie turut berada di samping ibunya untuk membantu wanita itu berhubung dengan bapanya melalui telefon bimbit.
Gene kelihatan gembira dan lebih bersemangat apabila diziarah isterinya sebelum mereka berpisah, tidak tahu bila akan bertemu kembali.
Sumber foto: Dailymail/Getty Images
Difahamkan, Dorothy berasa amat terdesak untuk menghubungi suaminya pada hari tersebut, setelah pusat itu melarang kunjungan pelawat dari dalam pusat kuarantin.
Gambar tersebut telah diambil di Life Care Center yang terletak di Kirkland, Washington. Ramai risau dengan keadaan keluarga mereka yang dimasukkan ke dalam pusat jagaan ini. Namun, usaha itu diharap dapat membendung penyakit ini dari terus tersebar.
Purata pesakit yang dimasukkan ke dalam pusat jagaan tersebut memiliki penyakit kronik dan penyakit yang berpanjangan. Hal ini pasti menjadikan diri mereka amat mudah mengalami komplikasi jika penyakit COVID-19 tidak dijaga dengan rapi.
Apa-apa pun, gambar pasangan emas dan anaknya amat menyayat hati. Ketika sebegini, hanya kekuatan pertalian darah sahaja yang dapat menaikkan semangat untuk terus hidup. - CARI |