100 meteor sejam lintas langit malam esok
A file picture of the Perseids seen in the skies above a Rungus village in Matunggong, Sabah.
PUTRAJAYA – Para peminat sains astronomi tempatan berpeluang menyaksikan sendiri fenomena angkasa unik dikenali sebagai Hujan Meteor Perseid, malam esok.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (Mysa), kejadian itu dijangka berterusan sehingga subuh 13 Ogos dengan purata 100 meteor per jam akan melintasi ruang langit Malaysia.
“Kenampakan hujan meteor ini akan berlaku di Malaysia malah ia diramalkan dalam keadaan baik kerana bulan akan terbenam tengah malam semasa waktu kemuncak fenomena ini berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Agensi berkenaan memaklumkan, titik kemunculan pancuran meteor itu kelazimannya dari arah buruj Perseus, namun ia masih boleh berlaku pelbagai arah.
“Lokasi buruj itu terletak di kawasan langit sebelah utara bumi sebelum hujan ini berpecah kepada banyak arah lain dengan fenomena tersebut biasa terjadi setiap tahun.
“Hujan meteor itu muncul secara rutin apabila bumi beredar mengelilingi matahari dan planet ini perlu merentasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle yang nukleusnya berdiameter 26 kilometer,” katanya. – KOSMO! ONLINE
|