http://www.themalaysianinsider.c ... ermit-kata-selangor
Gereja di premis tidak perlu permit, kata Selangor
Gereja dibenarkan beroperasi di premis komersial tanpa adanya permit, sekaligus memaklumkan gereja di Taman Medan yang terpaksa menurunkan salib boleh meletakkan semula ke tempat asal, kata kerajaan negeri Selangor. Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perhubungan Bukan Islam Elizabeth Wong berkata, gereja yang beroperasi di premis komersil hanya perlu memaklumkan kepada penduduk setempat. "MBPJ juga menjelaskan sejak 2008 Jawatankuasa Kerajaan Negeri Perhubungan Bukan Islam membenarkan gereja beroperasi di premis komersial atau pejabat tanpa permohonan permit tetapi melalui notis pemberitahuan kepada penduduk.
"Ia berdasarkan artikel 11, Perlembagaan Persekutuan merangkumi kebebasan beragama."
Wong berkata, kenyataan pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengenai gereja itu beroperasi secara haram dan memerlukan permit adalah tidak benar. "Tidak ada dalam polisi itu yang dipanjangkan dalam jawatankuasa. Notis pemberitahuan sudah mencukupi dan sekiranya penduduk atau ahli majlis mempunyai sebarang isu atau pertanyaan mereka boleh merujuk kepada kita. "Bagaimanapun terdapatnya peraturan sedia ada dalam bangunan rumah ibadah bukan Islam meliputi permohonan tanah bangunan, perobohan dan permohonan dana." Susulan daripada itu, Wong berkata satu pertemuan dianjurkan pada pagi tadi antara jawatankuasa MBPJ FK Tang, Peter Chong dan wakil gereja yang digelar "Community of Praise Petaling Jaya Church". Turut serta dalam mesyuarat tersebut adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Lot Sian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Hannah Yeoh dan Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran. Pada mesyuarat itu, jawatankuasa dimaklumkan gereja tersebut beroperasi sejak Ogos tahun lalu dan salib itu hanya diletakkan di luar premis Jumaat lalu. Mesyuarat itu juga membangkitkan isu kumpulan protes dipercayai daripada Umno mengasari penganut Kristian. "Insiden itu memaksa pastor membawa turun salib ekoran bimbang dengan keselamatan penganjur Kristian. "Dalam pertemuan tersebut kita juga menyarankan gereja untuk mengembalikan salib ke tempat asal bagi menghentikan perbuatan yang bermotifkan politik," kata Wong. Katanya, kerajaan negeri juga mahu polis mengambil perhatian serius terhadap isu tersebut dengan memastikan keselamatan rumah ibadah dilindungi supaya insiden sama tidak berulang. – 21 April, 2015. - See more at: http://www.themalaysianinsider.c ... thash.W4K45fV6.dpuf
|