Kemelut cinta tiga segi
Oleh Nor Akmar Samudin
[email protected]
AHLI agama perlu memperluaskan skop dakwah mereka dengan tidak lagi hanya menjadi lebai dan ustaz di masjid malah perlu menjadi ketua dalam semua bidang yang mereka ceburi termasuklah menyampaikan kebaikan menerusi seni. Tiada salahnya menceburi bidang seni asalkan berniat ikhlas untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada penonton.
Justeru dalam drama bersiri 13 episod, Warkah Cinta, arahan Mior Hashim Manap dan skrip ditulis ustaz A Ubaidillah Alias, drama itu menggandingkan Imam Muda Nazrul Izwan (sebagai Amir Mukhlis) dengan Heliza Helmi (Wardah) selaku teraju utama. Nazrul adalah pemenang kedua program Imam Muda musim kedua.
Drama itu diadaptasi daripada novel bertajuk Warkah Cinta Berbau Syurga hasil karya Ubaidillah sendiri. Ia sudah pun bersiaran di stesen TV AlHijrah, Selasa hingga Khamis jam, 8.30 malam. Penggambaran drama itu berlangsung di Kelantan dan Mesir.
Warkah Cinta menceritakan Amir Mukhlis adalah penuntut di Maahad Tahfiz Al-Quran dan ditakdirkan berkenalan dengan pelajar Naim Lil Banat iaitu Wardah pada satu sesi pertemuan antara redaksi sekolah. Amir dididik dan dibesarkan oleh ibu bapanya dengan asas agama yang kuat. Wardah pula berasal dari keluarga yang agak kucar kacir. Bapa Wardah seorang materialistik dan tidak menyukai karakter ahli agama.
Pertemuan tidak sengaja dengan Amir membuahkan rasa kagum dalam diri Wardah dan dia cuba mencuri perhatian Amir melalui bantuan sepupunya Rahim (lakonan Aidil Alias). Namun Amir tidak memberi respon dan berkeras tidak mahu bercinta demi menjaga kesucian agama dan status penghafaz al Quran tetapi dalam diam Amir menghormati Wardah kerana dia antara pelajar terbaik di Naim Lil Banat.
Amir pernah memberitahu Wardah ‘kalau ada jodoh, tidak ke mana’. Tetapi ia tidak cukup untuk meyakinkan Wardah.
Selama beberapa tahun Wardah berkomunikasi dengan Amir menerusi surat dan telefon sehinggalah mereka menjejakkan kaki ke menara gading. Wardah ke Universiti Malaya dan Amir pula ke Universiti Al-Azhar, Kaherah. Beberapa minggu sebelum ke Mesir, Amir terbabit dalam kemalangan kecil. Dia terlanggar seorang pelajar Maahad Muhamma sewaktu mengundur kereta. Pelajar itu luka di tangan dan Amir memberi sapu tangannya. Gadis yang luka itu adalah Balqis (Amira Rosli).
Wardah yang merasakan dirinya bertepuk sebelah tangan bersetuju berkahwin dengan pilihan bapanya iaitu Syamsul (Shahriz). Amir menerima berita perkahwinan itu dengan rasa kesal kerana selama ini dia tidak meluahkan perasaan sebenarnya. Dia berazam untuk bersikap lebih matang dan rasional. Dia mahu memastikan persepsi bapa Wardah adalah silap. Ahli agama tidak akan merempat sekalipun mereka tidak menjadi seorang yang kaya raya. Dia mula membina karisma seorang pemimpin, mengaplikasikan ilmu yang pernah dipelajari daripada guru dan ustaz di maahad dulu. Dia mula menulis dan mengarang untuk memberikan motivasi dalam dirinya sendiri dan orang lain.
Pengambilan mahasiswa baru dari Malaysia ke Universiti Al Azhar berlangsung.
Suatu hari, berlaku satu insiden membabitkan Amir dengan seorang siswi baru, Balqis. Selepas itu terjadi lagi beberapa kejadian menyebabkan Balqis amat mengagumi Amir dan menyimpan hati pada jejaka itu.
Universiti mengadakan ekspedisi ke Jabal Musa yang turut disertai Amir, Izzuddin (Hafizee Hatta) dan Balqis. Kali ini berlaku satu lagi insiden dan Balqis tidak dapat lagi menahan perasaannya terhadap Amir dan menunjukkan sapu tangan yang pernah diberikan Amir kepadanya lalu Amir berazam untuk menerima Balqis dengan baik. Malangnya, sebelum ekspedisi berakhir, Amir jatuh pengsan dan didapati menghidap tumor di kepala dan diramalkan doktor dia tidak akan hidup lama.
Pada masa sama, Amir tahu Izzudin juga suka pada Balqis. Untuk mengetahui apakah yang berlaku kepada tiga sahabat ini, saksikan Warkah Cinta di TV AlHijrah sehingga ke penghujung cerita. Warkah Cinta diterbitkan syarikat produksi milik Mior sendiri, Alkahfi Pictures Sdn Bhd.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06
Credit: Harian Metro
Last edited by ahkiluz on 7-12-2012 06:58 AM
|