|
|

KUANTAN - Selepas insiden kematian enam pengunjung akibat penggunaan dadah di Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 di Stadium Bukit Jalil Sabtu lalu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantah penganjuran Festival Muzik Antarabangsa Kuantan yang akan diadakan pada 4 dan 5 April depan bertempat di Cherating.
Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Nasrul Isyam Abdul Hamid berkata, kematian enam peserta yang menyertai festival muzik di Bukit Jalil baru-baru ini seharusnya menjadi iktibar kepada semua pihak.
Menurutnya, selain daripada isu keselamatan, pihak bertanggungjawab harus memandang berat terhadap penglibatan remaja Melayu di dalam aktiviti sedemikian.
“Kita perlu menjaga sensitiviti umat Islam dan orang Melayu. Program seperti ini dikhuatiri akan memberi peluang kepada remaja Melayu bergaul secara bebas dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Justeru, GPMS berharap perkara ini membuka mata kerajaan supaya menilai semula keperluan penganjuran festival muzik berkenaan,” katanya.
Bagi Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Kuantan, Razaki Omar pula mahu pihak berkuasa tegas dalam perkara itu bagi mengelak insiden di Bukit Jalil berulang.
Katanya, program itu bukan hanya membabitkan soal keselamatan tetapi juga soal sosial remaja terutama remaja Melayu.
“Kita bimbang orang luar yang datang akan membawa pengaruh kepada belia di sini memandangkan penganjuran festival berlangsung selama dua hari,” katanya.
Pendapat sama turut disuarakan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim yang mahu kerajaan menarik balik kebenaran penganjuran festival itu.
“Saya fikir insiden di Stadium Bukit Jalil cukup membuka mata kita berhubung aktiviti sedemikian yang hanya merosakkan generasi muda dan memberi pengaruh negatif,” katanya.
Difahamkan, sebanyak 10 kumpulan muzik akan membuat persembahan pada festival itu nanti.
Memetik laporan Bernama kelmarin, kerajaan negeri memberi jaminan Festival Muzik Antarabangsa Kuantan, yang bakal berlangsung pada 4 dan 5 April di Cherating, akan berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, beliau yakin apa yang berlaku di FMFA Sabtu lepas tidak akan berulang di Festival Muzik Antarabangsa Kuantan.
“Kita memberi jaminan festival muzik itu nanti akan selamat dan kejadian yang berlaku di FMFA tidak akan berulang. Kita bersimpati dan kesal dengan apa yang berlaku di festival itu," katanya.
Pada awal pagi Sabtu lepas, enam orang, termasuk tiga wanita, berusia lingkungan 19 hingga 28 tahun, meninggal dunia akibat penggunaan dadah selepas mengalami sesak nafas ketika menonton konsert berkenaan.
|
|