Diterbitkan: Khamis, 30 November 2017 8:37 AM
Mangsa membuat aduan kepada Andy Lieng di Pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia Cawangan Taman Kinrara, Puchong pada Rabu. Foto Sinar Online
PUCHONG: Menggoda mangsa menerusi media sosial kemudian dijadikan teman wanita sebelum mengajak lakukan hubungan seks sebelum ugut sebar gambar bogel mangsa adalah modus operandi digunakan seorang lelaki berusia 25 tahun bagi menipu mangsanya dan mendapatkan kekayaan dengan cara mudah.
Difahamkan, lelaki terbabit sudah menipu sekurang-kurangnya enam wanita berusia antara 20 hingga 60 tahun sejak beberapa tahun lalu.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Mei, 28, berkata, dia mengenali lelaki tersebut menerusi aplikasi WeChat pada 2014 dengan hanya berkawan biasa pada awalnya.
Kerani pentadbiran itu berkata, sepanjang tempoh perkenalan dia pernah keluar minum tiga kali dengan lelaki terbabit sebelum kedua-dua mereka menjadi pasangan kekasih.
“Lepas beberapa bulan bercinta, lelaki itu minta bantu belikan kereta guna nama saya dan dia jadi penjamin. Disebabkan sayang, saya ikut kemahuannya dan beli sebuah kereta Perodua Myvi.
“Tak lama lepas itu, kereta tersebut bermasalah dan dia minta saya belikan sebuah kereta baru. Sekali lagi saya belikan sebuah kereta guna nama saya tapi kali ini jenis Honda City,” katanya lelaki itu berjanji membayar ansuran bank setiap bulan.
Mei berkata, dia berpisah dengan lelaki terbabit selepas mendapat tahu bekas kekasihnya itu mempunyai teman wanita lain.
“Memang saya akui pernah adakan hubungan seks dengannya dan dia merakam gambar tubuh badan tapi tak sangka dia tergamak ugut saya guna gambar itu.
“Saya minta dia pulangkan kereta yang guna nama saya tapi dia enggan walaupun dah setahun berlalu. Sekarang nama saya dah disenaraihitamkan bank kerana dia turut gunakan kad kredit sampai habis had dan gagal bayar ansuran kepada pihak bank,” katanya.
Menurutnya, keluarganya tidak tahu mengenai kes gambar bogel dan hanya tahu lelaki terbabit gunakan namanya untuk membeli kereta.
“Saya rimas bank asyik hubungi tanya bayaran pinjaman. Dah lah saya tengah mengandung sekarang ni. Lelaki tu pula ugut nak sebar gambar bogel jika saya terus desaknya dan tak teragak-agak cari pasal,” katanya yang kini sudah berkahwin dengan lelaki lain.
Seorang lagi mangsa hanya mahu dikenali sebagai Win, 40, berkata, dia mengenali pemuda berusia 25 tahun itu menerusi akaun laman media sosial.
Katanya, dia bernasib baik lelaki terbabit belum sempat merakam gambar bogelnya kerana cepat mengetahui niat jahat lelaki tersebut.
“Kami berkawan hampir sebulan dan dia jadikan saya kekasihnya tapi selepas beberapa minggu saya dapat tahu rupanya dia ada ramai teman wanita. Kami putus cinta, dia ada merayu untuk jalin kembali hubungan tapi saya buat tak tahu saja.
“Dia pernah datang ke rumah dan bila saya tak mahu ikut katanya, dia serang sampai luka kedua-dua belah tangan. Saya kesal kerana terpedaya dan pernah berhubungan dengannya hingga ke ranjang,” katanya.
Sementara itu, Biro Aduan Awam Parti Gerakan Selangor, Andy Lieng Hwa Ching berkata, pihaknya menerima enam aduan penipuan membabitkan lelaki sama.
Katanya, kesemua mangsa mengadu kerugian dengan jumlah keseluruhan hampir RM100,000.