Tweet
Asrizal Aris
[email protected]
KEBEBASAN golongan wanita di negara ini yang memuat naik gambar di alam maya boleh mengundang padah apabila hanya dengan sekeping gambar, boleh digunakan untuk memuaskan nafsu seks lelaki secara maya.
Antara kelainan seksual yang semakin meluas kini adalah maiesiophilia yang menjadikan segelintir lelaki yang menghidap simptom ini merasa ghairah apabila melihat wanita mengandung.
Tinjauan di laman sosial Facebook, terdapat lebih 100 halaman kumpulan yang bertindak mengumpul dan menyebarkan gambar wanita berpakaian seksi termasuk ibu hamil untuk dijadikan tatapan lelaki hidung belang yang tidak malu untuk memberi komen gersang.
Membimbangkan apabila ada antara penghidap maiesiophilia menubuhkan kumpulan di aplikasi Telegram dan WhatsApp yang ditubuhkan sebagai medium perkongsian video serta gambar ibu hamil sebagai objek pemuas nafsu.
Bukan sahaja gambar wanita itu disebarkan tanpa keizinan malah identiti mereka juga didedahkan sehingga ada lelaki berminat untuk menjejakinya selepas tergoda melihat 'aset' milik wanita itu.
Pembantu tadika mahu dikenali sebagai Hani, 29, berkata, dia pernah menjadi mangsa apabila gambarnya ketika hamil pernah disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab dengan menyebarkan di satu halaman kumpulan Facebook.
Katanya, meskipun kejadian itu berlaku hampir empat tahun lalu namun ia masih segar dalam ingatan apabila mengenang kembali komen yang diberikan terhadap gambarnya itu.
"Gambar itu dirakam ketika saya mengandung anak sulung dan begitu teruja untuk memuat naik di Facebook tanpa berasa apa-apa kemungkinan kerana saya menutup aurat dan tidak memakai pakaian yang terdedah.
"Seminggu selepas itu saya diberitahu oleh rakan bahawa gambar saya tersebar dan apabila membaca komen yang diberikan saya terasa seperti 'diperkosa' beramai-ramai," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, komen berunsur lucah dan melampau menyebabkan dia menghantar mesej peribadi melalui Facebook kepada pemilik halaman kumpulan itu supaya memadam gambarnya dan mahu membuat laporan polis.
Kata Hani, bagaimanapun individu itu enggan memadam gambar berkenaan malah menyalahkan dirinya kerana memulakan muat naik gambar itu di Facebook secara terbuka.
"Saya cuba selidik siapa pemilik page (halaman kumpulan) itu kerana saya yakin dia kenal saya kerana kapsyen gambar saya yang disebarkan itu terdapat lokasi tempat tinggal saya.
"Dua hari selepas itu, page itu disekat oleh Facebook. Namun sehingga hari ini saya trauma dan tidak mahu memuat naik gambar lagi di Facebook," kata ibu dua anak itu.
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Ahmad Rostam Md Zin berkata, maiesiofilia tergolong masalah sakit mental yang menyebabkan keghairahan seksual tidak normal (fetishism) termasuk pedofilia, zoofilia dan necrofilia.
Katanya, keghairahan terhadap ibu hamil mula menjadi ikutan sejak kemunculan Demi Moore dalam keadaan berbogel di muka hadapan majalah terkenal pada tahun 1991 dalam keadaan sarat mengandung.
"Ia bukan masalah yang kerap ditemui sebelum ini kerana mereka yang menghidapinya tidak mendapatkan rawatan kerana beranggapan tidak menimbul masalah pada orang lain kecuali ia menjadi kes jenayah.
"Namun perkembangan teknologi membolehkan golongan fetishism ini bergabung dan berkongsi tabiat mereka bersama-sama.
"Besar kemungkinan mereka boleh melakukan jenayah apabila kecenderungan mereka tidak boleh dikawal seperti mana kes penghidap pedofilia," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, untuk mengesan penghidap maiesiofilia adalah sukar dan pihak pakar hanya mampu menasihati golongan ibu berhati-hati apabila di tempat awam dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling termasuk di alam maya.
"Kena faham bahawa kita sedang menghadapi dengan mereka (penghidap maiesiofilia) yang mempunyai nafsu pelik dan boleh melanggar waras akal.
"Mereka dipandu nafsu dan tidak peduli dengan privasi anda. Jika anda mengalami gangguan seks atau mengesan gambar anda disalah guna, lapor pihak berkuasa dengan segera dan sebarkan kesedaran kepada orang ramai," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 8:05 PM