"Saya akan membawa perkara ini ke peringkat tertinggi kepemimpinan PH.
Seingat saya, manifesto yang kami setuju bersama sebelum ini membabitkan
Perdana Menteri tidak boleh memegang portfolio kewangan."
Foto: Reuters
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salehuddin Ayub berkata demikian ketika mengulas keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bercanggah dengan manifesto gabungan itu.
Memetik BH Online, tindakan Perdana Menteri menamakan dirinya sebagai Menteri Pelajaran akan dibincangkan bersama pimpinan tertinggi PH.
"Saya akan semak semula manifesto PH. Kepemimpinan PH akan berbincang lebih lanjut mengenai perkara ini," katanya.
Tindakan Dr Mahathir semalam, menamakan dirinya sebagai Menteri Pelajaran dikatakan bercanggah dengan manifesto PH yang menyatakan Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain terutama Menteri Kewangan.
Sementara itu, Lim Kit Siang selaku Penasihat DAP mengakui terkejut dengan perkara itu.
"Saya akui, saya sendiri terkejut. Selain Perdana Menteri tidak boleh menjadi Menteri Kewangan (FM), manifesto PH turut mencadangkan bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang sebarang portfolio lain," katanya menerusi Twitter.
Malah, Ketua Pemuda GERAKAN, Tan Keng Liang mengingatkan PM mengenai janji dalam manifesto PH.
"Seingat saya, janji PH adalah Perdana Menteri tidak akan memegang sebarang peranan dalam kementerian lain. Itu termasuk Kementerian Pelajaran. Sekadar peringatan.
"Saya hanya ingin memastikan Tun Dr Mahathir tidak membuat kesilapan. Mungkin beliau terlepas pandang. Masih ada masa untuk berpatah balik sebelum mengangkat sumpah," tulisnya di Twitter. - CARI |