Edited by merrissa at 17-8-2018 04:29 PM
SEMUA saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) berjumlah 3.1 juta yang membabitkan nilai RM435 juta yang belum dibayar sejak AES dilaksanakan pada 2012 dibatalkan. Selain itu, sistem berkenaan akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 September ini, selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dengan dua syarikat konsesi yang mengendalikan sistem itu sebelum ini. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.
"Mulai 1 September ini, operasi kamera, mengambil gambar dan mengeluarkan saman AES semuanya akan dilakukan JPJ. "Kerajaan juga berkorban untuk tidak mengutip saman yang belum berbayar dan ini akan dilaksanakan secara one-off," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini. Bagi saman AES yang sudah dibayar, Loke berkata, jumlah bayaran tidak akan dikembalikan kerana kerajaan tidak mampu untuk membuat pembayaran balik. Selain itu katanya, kerajaan turut bersetuju untuk membayar balik RM555 juta daripada Tabung Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) secara berperingkat, yang digunakan kerajaan terdahulu bagi membayar pengambilalihan dua syarikat konsesi AES. Loke berkata, kerajaan juga bersetuju pelaksanaan Sistem eCall yang sepatutnya wajib dipasang pada kereta baharu bermula Julai 2019 ditangguhkan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 3:56 PM
|