“Kalau saya nak keluar UMNO, tak akan saya datang mesyuarat Biro Politik hari ini."
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata demikian selepas timbul spekulasi mendakwa Ahli Parlimen Rembau itu antara 18 pemimpin lain akan meninggalkan parti selain Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman, lapor MalaysiaGazette seperti dipetik Sinar Harian.
Kredit foto: PenBiru dot com
“Saya harap semua wakil rakyat BN kekal memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa.
“Rakyat mahu melihat BN sebagai pembangkang yang kredibel kita kena pastikan itu,” katanya.
Selain Khairy, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga dilaporkan antara yang bakal meninggalkan parti itu. Namun, Ahli Parlimen Sembrong itu kemudian menafikan spekulasi berkenaan.
Kredit foto: BH Online
"Jangan percaya spekulasi di luar sana. Bagi saya tiada sebab saya nak keluar parti. Tetapi saya rasa kepimpinan perlu tunjuk hala tuju yang jelas kepada kita semua ahli-ahli UMNO," katanya kepada Bernama.
Media sebelum ini melaporkan Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama hampir dua jam di Putrajaya, kelmarin.
Sementara itu, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mengesahkan ramalan mengatakan akan ada beberapa Ahli Parlimen UMNO bakal keluar parti.
Kredit foto: Malaysian Update
Ahli Parlimen Kinabatangan itu, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan nama ahli berkenaan.
"Memang akan ada lagi Ahli Parlimen yang akan keluar daripada Umno. Namun, enam Ahli Parlimen Umno di Sabah akan tetap kekal bersama UMNO," katanya kepada Astro AWANI. - CARI |