Tidak sah berkunjung ke Sabah jika tidak mencuba makanan tempatan. Antara yang popular termasuklah rumpai laut yang juga dikenali oleh warga tempatan sebagai ‘latok’.
Latok adalah sejenis rumpai berwarna kehijauan dan berbentuk seperti buah anggur yang kecil.
Kredit Foto: pembekalrumpailautasli
Di kalangan penggemar dan penjual rumpai laut, ianya sering dipromosikan sebagai ‘ibu kolagen’ yang sesuai dimakan mentah sebagai makanan tambahan untuk menjaga kesihatan serta kecantikan.
Biasanya rumpai laut ini dijadikan ulam-ulaman ketika makan tengah hari atau malam. Selain kehijauan, terdapat juga rumpai laut dalam warna merah, hijau kebiruan dan perang.
Kredit Foto: Rumpai Laut Semporna
Kerana popularitinya, rumpai laut ini kini sudah boleh didapati dalam bentuk mentah, masak, kering ataupun dalam bungkusan produk khas untuk buah tangan. Sebahagian label dalam bungkusan ini menggunakan pernyataan yang menarik pelanggan seperti ‘ibu kolagen’, ‘kolagen mentah’ ataupun ‘marin kolagen’. Tetapi sejauh manakah benarnya deklarasi ini?
Krdeit Foto: Amie's Little Kitchen
Kaya Dengan Kolagen?
Menurut Dr. Mariani Abdul Hamid, seorang pengkaji tempatan dari UTM, rumpai laut tidak mengandungi kolagen. Oleh sebab itu kenyataan bahawa rumpai laut adalah ibu kolagen atau kolagen mentah adalah tidak tepat. Walau bagaimanapun, rumpai laut didapati mengandungi kadar protein yang tinggi dan protein inilah yang akan mengaktifkan kulit kita untuk menghasilkan hampir 25 jenis kolagen secara semulajadi.
Kredit Foto: BazariaOnline
Kolagen adalah sejenis protein yang membentuk hamper 30% daripada keseluruhan protein di dalam tubuh manusia dan sering dikaitkan dengan kesihatan dan ketegangan kulit. Apabila umur semakin tinggi, kolagen akan mengalami degradasi dan mengakibatkan kedutan di bahagian permukaan kulit. Sebab itulah doktor kosmetik sering menasihatkan kita untuk mengambil langkah secukupnya dalam meningkatkan kadar kolagen termasuk makanan yang seimbang.
Kajian Dr. Mariani ini disokong oleh Prof. Madya Dr. Muta Harah Zakaria dari UPM yang mendapati rumpai laut dapat membantu mengekalkan kadar kolegen dalam kulit secara tidak langsung.
Khasiat Lain Rumpai Laut
Sedapnya Rumpai Laut Sabah, Tapi Betul Ke Kaya Dengan Kolagen?
Krdeit Foto: Sususejat.com
Kajian dermatologi mengesahkan rumpai laut mengandungi antioksidan yang mampu merawat penyakit kulit ekzsema dan rosacea . Selain itu rumpai laut juga mengandungi Vitamin B, E dan C yang mampu untuk merawat penyakit keradangan pada permukaan kulit. Di kalangan rakyat Jepun dan Korea, makanan ini dikenali sebagai bersifat anti-mutagen yang digunakan untuk merendahkan kadar kolestrol. Kerana kadar iodinnya yang tinggi, ianya dapat memperbaiki fungsi kelenjar tiroid dan seterusnya mencegah penyakit kornik seperti goiter. Walau bagaimanapun, pemakanan yang keterlaluan tidak digalakkan untuk mengelakkan keracunan.
Di Mana Boleh Didapati?
Kredit Foto: Didierumpailaut
Rumpai laut segar boleh didapati di mana-mana tamu atau pasar harian. Di Kota Kinabalu sekitar Pasar Kraftangan Filipina atau pasar malam Sinsuran, paket atau bungkusan kering rumpai laut boleh didapati dengan harga yang berpatutan.
Jadi lain kali, anda sudah tahu apakah souvenir yang sesuai untuk kawan anda ketika berkunjung ke Sabah! - CARI |