“Itu terserah kepada Tun Dr Mahathir. Beliau yang membentuk (memilih anggota) Kabinet, jadi terpulang kepada Perdana Menteri untuk pertimbangkan (desakan Waytha Moorthy meletak jawatan)."
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata demikian berhubung desakan pelbagai pihak yang mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy melepaskan jawatannya, lapor Berita Harian.
Kredit foto: Berita Harian
“(Kewajaran desakan) Tengok pada pandangan masing-masing mengenai sejauh mana pembabitan Waytha Moorthy dalam kes itu sehingga boleh berlakunya tragedi berkenaan.
“Namun, soal pembabitan Waytha Moorthy dalam ‘menganjurkan’ rusuhan itu perlu disiasat, dan saya harap polis akan teruskan siasatan serta menahan dan mendakwa mereka yang didapati bersalah,” katanya.
Desakan perletakan jawatan itu susulan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, selepas beberapa minggu bertarung nyawa akibat parah dipukul dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.
Bagaimanapun, Khalid menggesa semua pihak tidak hanya menuding jari pada Waytha Moorthy semata-mata.
“Golongan yang mempertahankan kuil pun perlu dipersalahkan, kerana jika mereka duduk dalam kuil untuk pertahankannya tak jadi masalah, tapi mereka merusuh.
“Yang penting, jangan kita salahkan keseluruhan kaum India atas peristiwa yang berlaku, malah bukan semua yang mempertahankan kuil itu terbabit.
“Mereka yang benar-benar terbabit dalam rusuhan dan tindakan membunuh itu yang perlu dikenakan tindakan,” katanya. - CARI |