Bagi kebanyakan orang, detik paling dikenang sama ada manis atau pahit semestinya ketika di bangku sekolah terutama di sekolah rendah.
Mungkin detik dicempung guru seperti bayi kerana enggan masuk ke kelas akan diingat kanak-kanak ini dewasa kelak.
Yusmie Yusoff dalam entri di Facebooknya berkongsi pengalaman di mana dia terpaksa mencempung muridnya dari pintu pagar sekolah selepas 'pendekatan diplomasinya' gagal.
Aduhai, manjanya kamu dik. Mesti sebak kalau dikenang semula apabila dewasa nanti.
Ramai netizen menyifatkan tindakan guru berkenaan comel, sekali gus mengucapkan tahniah kepadanya kerana tabah menghadapi pelbagai kerenah anak murid.
Malah, ada yang menggesa supaya guru seperti Yusmie diberikan penghargaan tokoh guru.
Dalam masa sama, rakan setugas Yusmie turut mendapat perhatian netizen kerana masih berunding dengan seorang lagi murid dengan masalah serupa.
Posting guru itu turut mendapat perhatian bekas anak muridnya dan rata-rata mereka berterima kasih kerana pernah mendapat didikan daripadanya.
Kredit foto: FB Yusmie Yusoff
Sementara itu, mStar Online melaporkan, Yusmie atau nama penuhnya Mohammed Yusmie Mohammed Yusoff merupakan guru disiplin di Sekolah Kebangsaan RPS Dala di Gerik, Perak.
Menurutnya, kejadian yang berlaku pada Isnin itu adalah disebabkan 'Monday Blues' selepas bercuti pada hujung minggu.
Tabik spring kepada guru yang sabar seperti Yusmie dan rakan-rakan seperjuangannya dalam mendidik anak-anak tanpa menggunakan kekerasan mental dan fizikal, namun masih tegas dalam berlembut. - CARI |