PUBLISHED: Dec 30, 2014 11:10pm UPDATED: Dec 30, 2014 11:10pm
31 maut akibat badaian JangmiSeorang penduduk membersihkan lumpur di luar kedainya di bandar Alcantara, wilayah Cebu, tengah Filipina, pada Selasa. - Foto AP
[size=100%]MANILA, 30 Disember: Banjir kilat dan tanah runtuh akibat badaian Ribut Tropika Jangmi meragut sekurang-kurangnya 31 nyawa, dengan tujuh lagi hilang di Filipina, termasuk di kawasan yang masih dalam proses pemulihan daripada landaan Taufan Haiyan, tahun lalu. Jangmi dengan kelajuan angin 65 kilometer sejam itu, membawa hujan lebat ke selatan Mindanao, yang telah memusnahkan jambatan dan lebuh raya, selain memaksa ribuan penduduk dipindahkan. Ribut itu kemudiannya bergerak ke bahagian timur dan tengah Filipina, di mana kebanyakan kematian dilaporkan pada Selasa. Biro cuaca memaklumkan, setakat lewat petang Selasa, ribut itu sedang bergerak ke bahagian barat, pada kelajuan 19 kilometer sejam ke arah Pulau Palawan. Datuk Bandar Catbalogan, Stephanie Uy-Tan berkata, seramai 12 orang maut dalam kejadian tanah runtuh yang menimbus dua van serta enam rumah, berhampiran sebuah lebuh raya di lereng bukit, di timur Catbalogan.
Pegawai pertahanan awam wilayah, Olive Luces berkata, 11 sekeluarga lemas, selepas dihanyutkan arus deras di tengah wilayah Cebu, manakala enam yang lain masih hilang di wilayah itu. Di bandar Tanauan, timur wilayah Leyte yang terjejas teruk akibat badaian Taufan Haiyan, tahun lalu, anggota penyelamat menemui lima mayat dalam sebuah rumah yang ditimbus tanah runtuh. Seorang lelaki berusia 65 tahun lemas di selatan wilayah Lembah Compostela, sementara seorang penduduk masih hilang, ketika merentasi sebatang sungai yang melimpah. Di tengah wilayah Bohol, seorang lelaki berusia 80 tahun lemas, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun maut ditimbus tanah runtuh yang menimpa rumahnya di bandar Butuan, selatan Filipina.
Sumber:Therakyatpost |