CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8803|Reply: 0

[Terengganu] Cuaca panas tingkat kematian, kecacatan terumbu karang

[Copy link]
Post time 11-5-2024 06:43 PM | Show all posts |Read mode
Cuaca panas tingkat kematian, kecacatan terumbu karang

OlehNORHASPIDA YATIM

11 Mei 2024 11:44am








Litupan terumbu karang di sepanjang perairan berisiko terancam akibat cuaca panas dan kering yang berpanjangan. Foto UMT




KUALA NERUS - Negara dijangka kehilangan lima hingga 10 peratus litupan terumbu karang di sepanjang perairan akibat cuaca panas dan kering yang berpanjangan.

Pakar penyelidik batu karang Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Tan Chun Hong berkata, hidupan itu merupakan haiwan marin yang sensitif terhadap sebarang perubahan suhu air laut kerana ia antara punca terhadap kematian dan kecacatan spesies berkenaan.



Menurutnya, cuaca panas ekstrem akan mempengaruhi sistem imun dalam badan haiwan tersebut sekali gus mempengaruhi proses pertumbuhannya.

"Pemanasan air laut akan merendahkan sistem imun batu karang dan menurunkan tahap daya tahan terhadap ancaman bakteria dan virus daripada persekitaran," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.



"Apabila pemanasan suhu air laut melebihi dua darjah Celcius kebarangkalian batu karang untuk mati juga akan meningkat.

"Kajian menunjukkan peningkatan suhu air laut antara satu hingga dua darjah Celcius daripada paras normal dalam tempoh lebih dua minggu akan memberi tekanan terhadap kesihatan batu karang," ujarnya.


Kira-kira 1,000 karang ditanam di Pulau Bidong sempena Ekspedisi Pemuliharaan Karang sempena sambutan Hari Laut Sedunia yang disambut pada 8 Jun tahun lalu. Foto UMT




Beliau memberitahu, situasi itu membimbangkan kerana batu karang merupakan asas dalam pembentukan ekosistem terumbu karang.




"Terumbu karang merupakan salah satu habitat utama untuk kehidupan marin di Malaysia yang berkait rapat dengan sumber perikanan kita.

"Ancaman fenomena kelunturan karang (coral bleaching) antara kesan yang boleh dilihat akibat fenomena El Nino yang melanda dunia ketika ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya, UMT akan terus memperkasakan program pemuliharaan batu karang meliputi projek mengenal pasti benih karang yang mempunyai daya tahan tinggi untuk digunakan dalam pemulihan semula terumbu karang berskala besar.

Jelas beliau, ia bagi memastikan kelestarian hidupan itu pada masa akan datang.

Menurutnya, hasil kajian dilakukan di Pulau Bidong mendapati risiko kematian dan kecacatan benih batu karang turut meningkat apabila suhu air laut menjadi lebih panas daripada normal.

"Kajian penyelidik mendapati benih batu karang spesies Acropora berada dalam air yang suhunya dua darjah Celcius lebih panas daripada keadaan normal telah menunjukkan 8.5 peratus lebih banyak kematian.

"Secara purata, sebanyak 10 peratus benih mengalami kecacatan 10 hari selepas penetasan.

"Ini bermaksud, dalam keadaan pemanasan suhu laut yang luar daripada normal, batu karang dewasa dan juga benih batu karang turut mengalami kematian yang tinggi dan memberi impak besar kepada usaha pemuliharaan batu karang di Malaysia seperti program restorasi karang dilakukan UMT di Pulau Bidong," katanya.

Rekod laporan survei tahunan daripada Reef Check Malaysia dan data daripada Jabatan Perikanan Malaysia, kelunturan karang dalam skala yang besar pernah berlaku pada tahun 1997-1998, 2010, 2015-2017 dan pada 2024.

Baru-baru ini media melaporkan enam negeri termasuk Terengganu dijangka mengalami cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celcius dalam tempoh tiga bulan lagi.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-6-2024 11:06 AM GMT+8 , Processed in 0.088139 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list